RSS

Wednesday, December 1, 2010

SAKA dan Kisahnya

Definisi
SAKA adalah jin yang berada di dalam tubuh manusia yang diwarisi turun temurun yang telah sebati di dalam tubuh manusia tersebut.
Ia berlaku sama ada seseorang itu tahu atau tidak.
Jin tersebut diwarisi apabila nenek moyang mereka telah meninggal dunia.
Saka terdiri daripada jin-jin seperti hantu raya dan pelesit.

Siapakah Yang Menjadi Sasaran?
Sasaran saka terdiri daripada keturunan pembawa saka dan orang-orang yang dipilih oleh jin itu sendiri.

Tanda-Tanda Orang Yang Mempunyai Saka
Gejala Ketika Tidur
1. Susah tidur malam.
2. Mudah terjaga pada waktu malam dalam keadaan cemas dan takut.
3. Mimpi buruk dan menakutkan.
4. Mimpi melihat binatang seperti kucing, anjing, ular,serigala, tikus dan sebagainya.
5. Bunyi gigi berlaga ketika tidur.
6. Mimpi terjatuh dari tempat tinggi.
7. Berdiri dan berjalan ketika tidur.
8. Bermimpi berada di tempat yang sunyi.
9. Bermimpi berada di kawasan kotor dan kawasan perkuburan.
10. Mimpi melihat makhluk halus.
11. Mimpi melihat salib atau gereja.
12. Mimpi bertemu paderi.
13. Mimpi melihat budak kecil.

Gejala Ketika Jaga
1. Sering lalai daripada mengingati Allah S.W.T
2. Hilang ingatan (gila).
3. Lesu dan malas.
4. Rasa sakit pada sebahagian anggota badan.
5. Sakit di bahagian belakang badan terutamanya tulang belakang.
6. Lenguh sendi-sendi.
7. Melihat sesuatu yang pelik.
8. Ketumbuhan yang sukar diubati (kanser).
9. Terasa seolah-olah memijak telur atau batu di bahagian tapak kaki.
10. Mudah panik bila berhadapan dengan masalah.
11. Jiwa lemah.
12. Selalu mengantuk.
13. Mudah marah dan panas baran.

Kesan Dan Akibat
1. Sukar mendapat zuriat.
2. Banyak berlaku perkara ganjil di dalam hidup seseorang.
3. Banyak mengidap pelbagai penyakit.
4. Tidak suka bermasyarakat.
5. Mudah sensitif dan mudah terasa.
6. Mengetahui perkara-perkara yang mustahil diketahui oleh orang lain (bisikan jin dan syaitan).
7. Selalu menangis ketika kecil dan berperangai buruk apabila dewasa.
8. Kehidupan menjadi tegang dan suram.

SANTAU dan Penceritaannya

Muqadimmah
Menurut perawat tradisional, tidak menyatakan perbezaan yang jelas di antara santau dan racun.
Ramai berpendapat bahawa santau dan racun adalah sama, manakala rawatannya juga adalah sama, hanya terdapat beberapa ciri perbezaan bagi menentukan orang itu samada terkena santau atau racun.
Kesan racun dapat dikesan dalam masa yang singkat sejurus sahaja termakan atau terminum racun, mangsa akan menderita serta-merta.
Manakala kesan santau hanya dapat di kesan dalam masa yang agak lama.
Mangsa tidak akan menyedari melainkan mangsa memakan limau nipis atau memakan nenas dibuat dengan bahan-bahan semula jadi seperti akar-akar kayu (racun tradisional) manakala santau berlainan dari cara pembuatan racun.

Jenis-Jenis Santau
Santau terbahagi kepada 2 jenis:   
Santau yang diperbuat daripada bahan biasa dan diberi secara langsung kepada mangsa seperti di letak ke dalam makanan dan minuman. Ia tidak berkait dengan pemujaan jin dan syaitan. Ini agak mudah diubati.

Santau yang disertai dengan pemujaan jin dan syaitan. Santau ini juga dikenali sebagai ‘santau angin’. Santau ini agak sukar diubati kerana ia melibatkan jin yang mempunyai sayap. Jin tersebut mampu terbang di udara, biasanya mangsa akan menjadi kurus kering.


Tanda-Tanda Terkena Santau
·         Batuk berterusan, batuk berdarah dan bernanah serta keluar debu-debu kecil seperti habuk-habuk kaca.
·         Keluar darah yang berpanjangan bagi wanita kadangkala 1 bulan atau lebih.
·         Sakit tulang belakang terutamanya pada waktu maghrib dan malam jumaat, kadangkala sakit akan menjadi lebih kritikal ketika hampir waktu solat jumaat.
·         Sakit dan sesak nafas terutamanya pada waktu maghrib.
·         Lenguh seluruh anggota badan.
·         Kuku menjadi hitam dan nafas menjadi busuk.
·         Mimpi jatuh dari tempat tinggi.
·         Mimpi bahan-bahan miang seperti miang buluh dan ulat bulu.
·         Mimpi bermain dengan benda tajam seperti pisau dan sembilu.
·         Mimpi kanak-kanak kecil seperti menyusukannya.
·         Mimpi binatang menakutkan seperti ular.
·         Mimpi bertemu ketua agama-agama lain dan mimpi pergi ke tempat ibadah mereka.

Kesan-Kesan Santau
·         Boleh membawa maut dengan izin Allah S.W.T.
·         Hilang daya ingatan.
·         Kulit merekah dan keluar air bisa dan nanah.
·         Berubah sifat seperti sifat sabar menjadi panas baran.
·         Badan menjadi bongkok disebabkan batuk yang berpanjangan.
·         Gugur bulu-bulu pada badan.
·         Kelopak mata menjadi hitam akibat dari tidur yang sering terganggu.
·         Kanser dan ketumbuhan.
·         Keguguran bayi.

Thursday, March 18, 2010

Kenangan kisah histeria memberi pengajaran

بسم الله الرحمن الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Kisah histeria selalunya dikaitan dengan permasalahan peribadi seseorang itu berikutan dengan tekanan hidup yang dilalui. Histeria merupakan suatu keadaan minda seperti ketakutan atau emosi yang tidak terkawal. Ketakutan tersebut selalunya disebabkan oleh beberapa kejadian yang dilalui oleh seseorang yang melibatkan konflik yang teruk. Mereka yang mengalami histeria sering kehilangan kawalan akibat ketakutan yang teramat sangat.

Kisah histeria yang ana pernah lalui semasa ana bertugas sebagai guru penasihat Pasukan Beruniform (dirahsiakan) Sekolah pada tahun 2008. Kisah terjadi di Pusat Kokurikulum Kem Tasoh Perlis. Ana juga sebagai jurulatih sambilan yang bertugas di Pusat Kokurikulum berkenaan.

Kejadian bermula pada waktu Maghrib bilamana peserta sedang melakukan persiapan makan malam dan solat Maghrib. Pada waktu itu, hanya ada sekumpulan pelajar sedang melakukan solat Maghrib berjemaah. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan dalam proses mendidik, para pelajar harus ditekankan mengenai solat lebih-lebih lagi solat berjemaah yang sudah semestinya dituntut.

Ana sudah dapat merasai seolah-olah keadaan itu memberi gambaran bahawa akan berlaku situasi yang tidak diingini. Tekaan ana tepat sebaik sahaja ada pelajar dari sekolah ana bergegas datang menyatakan beberapa pelajar perempuan sekolah ana dalam keadaan takut. Terlintas difikiran ana, adakah ini kes histeria.

Sebaik sahaja mendapatkan mereka, kelihatan mereka berkumpul di hujung surau sambil berpelukan. Ana cuba untuk mententeramkan dengan mengajar beberapa potongan ayat. Alhamdullilah, keadaan agak terkawal.

Ana mendapat tahu kes yang sama turut menimpa beberapa kumpulan pelajar dari sekolah lain dan ada yang telah diasingkan ke bilik rawatan. Kelihatan beberapa orang pelajar telah menunjukkan ciri-ciri gangguan tetapi mampu dikawal.



Keadaan kembali tenang seketika sehinggalah slot persembahan kebudayaan diadakan di dewan terbuka. Sebaik sahaja aktiviti kebudayaan dimulakan, terdapat beberapa orang pelajar lagi dipapah keluar keluar dari dewan. Ana meminta supaya dimasukkan mereka ke bilik rawatan. Ana turut menemani mereka ke sana. Ana berbincang dengan beberapa rakan guru dan bersetuju untuk tidak meneruskan aktiviti tersebut.

Melihat kepada kejadian itu, salah seorang dari pegawai terlibat mengarahkan para pelajar agar membaca ayat-ayat suci. Alhamdullilah keadaan terkawal. Selang tidak berapa lama, sebelum sempat ana dan rakan guru menyatakan hasrat kami, aktiviti kebudayaan diteruskan.

Keadaan secara tiba-tiba meletus. Kelihatan kebanyakkan pelajar sudah tidak dapat mengawal diri. Mereka menangis, meronta-ronta dan menjerit menunjukkan "HISTERIA" sudah menyerang setelah diberi peringatan awal sebelum itu. Keadaan di dewan pada ketika itu sudah tidak dapat dikawal.

Dengan bekal ilmu yang sedikit ana membantu meredhakan keadaan sambil memohon bantuan dari Allah. Kelihatan beberapa orang guru turut membantu dan ada yang memerhatikan dari jauh sahaja. Ana bergerak dari satu mangsa ke mangsa. Ana membacakan Ayat Kursi dan azan ditelinga mangsa dan meniup bermula dari kepala hingga ke kaki. Kemudian ana menyuruh mangsa mengucap kalimah syahadah.

Alhamdullilah mangsa mulai sedar tetapi masih dalam ketakutan. Ana meminta agar rakan-rakannya membantu mententeramkan mangsa dengan memberi kata semangat. Mangsa bukan sahaja terdiri dari pelajar perempuan, malah pelajar lelaki juga tidak terlepas. Selain dari bacaan Ayat Kursi, anak juga menepuk bahagian belakang pelajar lelaki dengan kalimah بسم الله ما شا ءالله sebanyak 3 kali dan bacaan Ayat Kursi. Rakan-rakan guru yang lain, turut membantu mangsa dengan teknik dan kaedah masing-masing.

Alhamdullilah dengan pertolongan dan bantu dari Allah, keadaan dapat dikawal dari terus kritikal. Mangsa-mangsa diletakkan di dewan makan dan dikawal oleh beberapa pegawai dan guru-guru lain. Mangsa yang terlibat dianggarkan 50 orang lebih dan mungkin lebih kerana ada sebahagian dari mereka dimasukkan ke bilik rawatan.Pelajar lain dikumpulkan di dewan terbuka dengan pantauan.

Pada pemerhatian ana, pelbagai jenis serangan dan rasukkan. Ada diantara mereka yang ingin bersilat, ada yang menyatakan ada rakan sedang memanggil-manggil di luar pagar, ada yang menutup telinga sambil meronta-ronta. Tidak dinafikan juga ada mangsa yang tidak dapat mengawal diri kerana terlalu takut.

Allah Maha Mengetahui, ada seorang mangsa perempuan berdialog. Nasib baik dia tidak kerasukkan cuma dirinya dikawal oleh JIN REMAJA yang hanya mengikut "rakan-rakan" berpesta. Dari perbualan dia menyatakan bahawa tempat ini kotor dan busuk. Dia dibawa ke hujung dewan makan. Mangsa duduk sambil menyikat rambut, ala-ala MAYA KARIN dalam filem HARUM SUNDAL MALAM. Padahal rambutnya tidak panjang. Mangsa dirawat oleh Pak Idrus, seorang pengamal perubatan alternatif di kawasan itu. Pada mulanya ana mengesan dengan kaf ha ya a'in shod sambil merenung mata mangsa dan dia terus menangis.



Setelah berbincang apa yang dimaksudkan mangsa sebagai kotor dan busuk, kami mendapat satu keputusan untuk memeriksa khemah pelajar perempuan. Hasilnya boleh dikaitan dengan kes kotor dan busuk iaitu penemuan tuala wanita yang tidak diuruskan dengan betul. Merata-rata dijumpai seperti di bawah khemah, celah dahan pokok, dalam mangkuk tandas, dalam tong sampah dan merata-rata. Bahan buangan itu dikumpulkan semula dan dibuang dengan baik.

Selain dari itu, tidak dinafikan, ada dalam kalangan pelajar yang tidak menjaga adab dalam pergaulan di antara lelaki dan perempuan. Mereka seolah-olah menjadikan program itu sebagai tempat mencari pasangan cinta monyet.

Pengajarannya, setiap program yang hendak dijalankan seharusnya memenuhi syarat-syarat dalam usaha mendidik para pelajar dengan nilai-nilai yang dituntut selain dari modul-modul yang diterapkan dalam sesuatu aktiviti. Misalnya, solat berjemaah haruslah dijadikan sebagai satu modul wajib bagi mendidik mereka begitu juga dengan ceramah keagamaan.

Semoga kita semua dibawah lindungan Allah....wallahualam