RSS

Thursday, March 18, 2010

Kenangan kisah histeria memberi pengajaran

بسم الله الرحمن الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Kisah histeria selalunya dikaitan dengan permasalahan peribadi seseorang itu berikutan dengan tekanan hidup yang dilalui. Histeria merupakan suatu keadaan minda seperti ketakutan atau emosi yang tidak terkawal. Ketakutan tersebut selalunya disebabkan oleh beberapa kejadian yang dilalui oleh seseorang yang melibatkan konflik yang teruk. Mereka yang mengalami histeria sering kehilangan kawalan akibat ketakutan yang teramat sangat.

Kisah histeria yang ana pernah lalui semasa ana bertugas sebagai guru penasihat Pasukan Beruniform (dirahsiakan) Sekolah pada tahun 2008. Kisah terjadi di Pusat Kokurikulum Kem Tasoh Perlis. Ana juga sebagai jurulatih sambilan yang bertugas di Pusat Kokurikulum berkenaan.

Kejadian bermula pada waktu Maghrib bilamana peserta sedang melakukan persiapan makan malam dan solat Maghrib. Pada waktu itu, hanya ada sekumpulan pelajar sedang melakukan solat Maghrib berjemaah. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan dalam proses mendidik, para pelajar harus ditekankan mengenai solat lebih-lebih lagi solat berjemaah yang sudah semestinya dituntut.

Ana sudah dapat merasai seolah-olah keadaan itu memberi gambaran bahawa akan berlaku situasi yang tidak diingini. Tekaan ana tepat sebaik sahaja ada pelajar dari sekolah ana bergegas datang menyatakan beberapa pelajar perempuan sekolah ana dalam keadaan takut. Terlintas difikiran ana, adakah ini kes histeria.

Sebaik sahaja mendapatkan mereka, kelihatan mereka berkumpul di hujung surau sambil berpelukan. Ana cuba untuk mententeramkan dengan mengajar beberapa potongan ayat. Alhamdullilah, keadaan agak terkawal.

Ana mendapat tahu kes yang sama turut menimpa beberapa kumpulan pelajar dari sekolah lain dan ada yang telah diasingkan ke bilik rawatan. Kelihatan beberapa orang pelajar telah menunjukkan ciri-ciri gangguan tetapi mampu dikawal.



Keadaan kembali tenang seketika sehinggalah slot persembahan kebudayaan diadakan di dewan terbuka. Sebaik sahaja aktiviti kebudayaan dimulakan, terdapat beberapa orang pelajar lagi dipapah keluar keluar dari dewan. Ana meminta supaya dimasukkan mereka ke bilik rawatan. Ana turut menemani mereka ke sana. Ana berbincang dengan beberapa rakan guru dan bersetuju untuk tidak meneruskan aktiviti tersebut.

Melihat kepada kejadian itu, salah seorang dari pegawai terlibat mengarahkan para pelajar agar membaca ayat-ayat suci. Alhamdullilah keadaan terkawal. Selang tidak berapa lama, sebelum sempat ana dan rakan guru menyatakan hasrat kami, aktiviti kebudayaan diteruskan.

Keadaan secara tiba-tiba meletus. Kelihatan kebanyakkan pelajar sudah tidak dapat mengawal diri. Mereka menangis, meronta-ronta dan menjerit menunjukkan "HISTERIA" sudah menyerang setelah diberi peringatan awal sebelum itu. Keadaan di dewan pada ketika itu sudah tidak dapat dikawal.

Dengan bekal ilmu yang sedikit ana membantu meredhakan keadaan sambil memohon bantuan dari Allah. Kelihatan beberapa orang guru turut membantu dan ada yang memerhatikan dari jauh sahaja. Ana bergerak dari satu mangsa ke mangsa. Ana membacakan Ayat Kursi dan azan ditelinga mangsa dan meniup bermula dari kepala hingga ke kaki. Kemudian ana menyuruh mangsa mengucap kalimah syahadah.

Alhamdullilah mangsa mulai sedar tetapi masih dalam ketakutan. Ana meminta agar rakan-rakannya membantu mententeramkan mangsa dengan memberi kata semangat. Mangsa bukan sahaja terdiri dari pelajar perempuan, malah pelajar lelaki juga tidak terlepas. Selain dari bacaan Ayat Kursi, anak juga menepuk bahagian belakang pelajar lelaki dengan kalimah بسم الله ما شا ءالله sebanyak 3 kali dan bacaan Ayat Kursi. Rakan-rakan guru yang lain, turut membantu mangsa dengan teknik dan kaedah masing-masing.

Alhamdullilah dengan pertolongan dan bantu dari Allah, keadaan dapat dikawal dari terus kritikal. Mangsa-mangsa diletakkan di dewan makan dan dikawal oleh beberapa pegawai dan guru-guru lain. Mangsa yang terlibat dianggarkan 50 orang lebih dan mungkin lebih kerana ada sebahagian dari mereka dimasukkan ke bilik rawatan.Pelajar lain dikumpulkan di dewan terbuka dengan pantauan.

Pada pemerhatian ana, pelbagai jenis serangan dan rasukkan. Ada diantara mereka yang ingin bersilat, ada yang menyatakan ada rakan sedang memanggil-manggil di luar pagar, ada yang menutup telinga sambil meronta-ronta. Tidak dinafikan juga ada mangsa yang tidak dapat mengawal diri kerana terlalu takut.

Allah Maha Mengetahui, ada seorang mangsa perempuan berdialog. Nasib baik dia tidak kerasukkan cuma dirinya dikawal oleh JIN REMAJA yang hanya mengikut "rakan-rakan" berpesta. Dari perbualan dia menyatakan bahawa tempat ini kotor dan busuk. Dia dibawa ke hujung dewan makan. Mangsa duduk sambil menyikat rambut, ala-ala MAYA KARIN dalam filem HARUM SUNDAL MALAM. Padahal rambutnya tidak panjang. Mangsa dirawat oleh Pak Idrus, seorang pengamal perubatan alternatif di kawasan itu. Pada mulanya ana mengesan dengan kaf ha ya a'in shod sambil merenung mata mangsa dan dia terus menangis.



Setelah berbincang apa yang dimaksudkan mangsa sebagai kotor dan busuk, kami mendapat satu keputusan untuk memeriksa khemah pelajar perempuan. Hasilnya boleh dikaitan dengan kes kotor dan busuk iaitu penemuan tuala wanita yang tidak diuruskan dengan betul. Merata-rata dijumpai seperti di bawah khemah, celah dahan pokok, dalam mangkuk tandas, dalam tong sampah dan merata-rata. Bahan buangan itu dikumpulkan semula dan dibuang dengan baik.

Selain dari itu, tidak dinafikan, ada dalam kalangan pelajar yang tidak menjaga adab dalam pergaulan di antara lelaki dan perempuan. Mereka seolah-olah menjadikan program itu sebagai tempat mencari pasangan cinta monyet.

Pengajarannya, setiap program yang hendak dijalankan seharusnya memenuhi syarat-syarat dalam usaha mendidik para pelajar dengan nilai-nilai yang dituntut selain dari modul-modul yang diterapkan dalam sesuatu aktiviti. Misalnya, solat berjemaah haruslah dijadikan sebagai satu modul wajib bagi mendidik mereka begitu juga dengan ceramah keagamaan.

Semoga kita semua dibawah lindungan Allah....wallahualam